Friday, February 27, 2009

Penghuni perlu ‘kasih sayang’ masyarakat


KUALA KUBU BHARU – Keadaan penghuni Taman Sinar Harapan (TSH) di sini yang disifatkan paling kritikal memerlukan perhatian sewajarnya masyarakat sekitar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun berkata, perhatian masyarakat sekurang-kurangnya akan memberi sinar dan kegembiraan kepada setiap penghuni. “Jika diselami perasaan penghuni di sini, tidak siapa pun tahu apa yang mereka mahu dan bentuk bantuan bagaimana yang mereka perlukan. “Tetapi saya percaya jika mereka lihat ada insan yang sering mendekati dan melayani mereka, ia sudah cukup menggembirakan dan membentuk perasaan kasih dan sayang dalam diri mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bersama penghuni TSH. Pada majlis ringkas tetapi cukup meriah itu, ramai pemimpin tempatan dan pegawai serta kakitangan kerajaan hadir termasuk wakil UMNO, MCA, MIC, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Hospital Kuala Kubu Bharu. Koon Mun berkata, menjadi tanggungjawab masyarakat sekitar untuk menyumbang sebarang keperluan kepada penghuni di TSH. Menurutnya, cara itu membantu mereka dalam menjalani kehidupan walau tanpa kehadiran pelawat, tetapi sekurang-kurangnya dapat dirasai penghuni selain meringankan beban ditanggung kakitangan di situ. “Saya memuji sikap sabar dan ketabahan kakitangan di sini yang sanggup melayan karenah penghuni yang pelbagai ragam. “Pada saya, bukan mudah untuk melayan karenah dan kehendak mereka yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) ditambah dengan tahap kritikal yang mereka alami,” katanya. Koon Mun turut memuji langkah diambil pihak pengurusan dan lembaga pelawat atas inisiatif me-nganjurkan majlis tersebut walaupun lewat daripada tarikh sambutannya. Beliau juga menyeru kepada badan lain untuk tampil menghulurkan bantuan berupa lampin pakai buang kepada penghuni memandangkan bantuan itu menjadi keperluan mereka dan memakan belanja yang besar. Sementara itu, Pengetua TSH, Saiful Nizam Mhd Nor menyeru masyarakat sekitar supaya sentiasa berkunjung ke TSH bagi melihat sendiri keadaan penghuni di situ. Selain itu katanya, masyarakat boleh menghulurkan bantuan dan mengisi Tabung TSH untuk kegunaan serta manfaat penghuni. Manakala, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat TSH, Yusof Nawawi berkata, be-liau akan berusaha dari masa ke masa untuk me-ngadakan program bagi memberitahu dan memperkenalkan kewujudan pusat jagaan itu kepada masyarakat luar. Menurutnya, masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui akan kewuju-dan pusat jagaan tersebut dan ini menyukarkan mereka mendapat sumbangan.

No comments:

Post a Comment