Friday, February 27, 2009

Program Cari terus bela nasib rakyat


Kuala Kubu Bharu- Program Cari yang dilancarkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu terus membela nasib rakyat sekitarnya.
Terbaru, seramai 34 penerima sekitar DUN Kuala Kubu Bharu hadir pada majlis penyerahan bantuan yang disampaikan Ahli Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, YB Tuan Wong Koon Mun.
Koon Mun ketika ditemui berkata, bantuan itu disalurkan secara berperingkat sehingga semua rakyat dapat menikmatinya.
“Ini adalah program penyerahan kedua dilakukan selepas sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini di pekarangan UMNO.
“Ini bukti komitmen dan keprihatian kita dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Program Cari menetapkan lima jenis bantuan iaitu Bantuan Kanak-kanak (BKK), Bantuan Orang Tua (BOT), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan OKU tidak bekerjaya (BTB).
Semua skim bantuan tersebut diberikan secara bulanan kepada setiap penerima mengikut kelayakan seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan skim bantuan persekutuan itu.
Seorang penerima, Rosnani Sarip, 36, berkata, bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya dalam menyara lima daripada tujuh orang anaknya yang bersekolah.
“Walaupun ini bantuan pertama yang saya terima, tetapi ia cukup membantu terutama bagi persekolahan anak-anak,” katanya yang hanya mengutip hasil pendapatan daripada perniagaan kuihnya di Kerling.
Menurutnya, bantuan yang dikekalnya sehingga Julai 2009 benar-benar membantunya memandangkan suami beliau hanya bekerja kontrak.
Sementara itu, seorang OKU,Yong Kwai Kheng, 44, berkata, kesabarannya menjaga ibu yang juga OKU terbalas apabila turut diberikan bantuan.
“Saya amat berterima kasih kepada wakil rakyat yang sanggup berkunjung ke rumah saya dan menyenaraikan kami sebagai penerima bantuan ini,” katanya.
Manakala, Sapidah Bakar, 37, berkata, beban dipikul suaminya yang bekerja kontrak sedikit berkurang setelah bantuan itu diberikan.
Menurutnya beliau, suaminya terpaksa bekerja sambilan sebagai siak di Masjid Kerling bagi menyara lapan anak.
“Dengan bantuan ini bulanan yang disalurkan sehingga Julai ini, dapatlah meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang turut berterima kasih kepada wakil rakyat di kawasan yang prihatin.

No comments:

Post a Comment