Wednesday, April 1, 2009

Peningkatan penerima bukti keberkesanan Program Cari



KUALA KUBU BHARU – Peningkatan bilangan penerima bantuan melalui Program Cari menunjukkan keberkesanan program itu dalam mengenal pasti kelompok penerimanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun berkata, peningkatan jumlah itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan pusat dalam membela nasib rakyat yang kurang berkemampuan. “Saya merasa amat gembira kerana bilangan penerima sumbangan bantuan ini bertambah setiap bulan. “Ini pencapaian baik yang kita capai sejak program ini mula digerakkan bermula tahun lepas dan ia membuktikan kesungguhan penyelaras dan anggota pelaksana program dalam mencari dan membantu golongan memerlukan,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu kepada lebih 50 penerima di pejabatnya di sini. Sehingga kini, Program Cari sudah mengenal pasti dan membantu hampir 200 penerima dengan jumlah bantuan disalur mencecah RM190,000 sejak ia mula dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Penerima bantuan itu terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), rakyat miskin termasuk penjaga yang disenaraikan layak menerima bantuan. Koon Mun turut memuji kesungguhan anggota atau skuad program tersebut yang sanggup bersusah payah dalam mencari dan mengenal pasti kelompok masyarakat yang benar-benar perlu dibantu. “Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) kerana kekal prihatin dan bersungguh dalam membela nasib rakyat. “Harapan saya dan rakyat seluruhnya supaya kementerian bertanggungjawab di bawah pentadbiran Datuk Seri Ng Yen Yen agar usaha ini dapat dikekalkan bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya. Beliau berkata, dengan keberkesanan dan kejayaan program berkenaan membuktikan kerajaan pusat telah menunaikan janjinya menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun keturunan. Menurutnya, walaupun negeri bukan berada di bawah pemerintahan BN, tetapi berkat keprihatinan kerajaan pusat pembelaan terhadap rakyat tetap diteruskan. Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana terus membantu mereka. Menurut mereka, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul setiap hari.

No comments:

Post a Comment