Sunday, October 18, 2009

Impian tertunai, sambut Syawal di rumah baru


Kerling- Hasrat warga emas merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri di rumah baru akhirnya tertunai apabila rumah yang diidam-idamkan siap seminggu sebelum umat Islam menyambut hari lebaran.
Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah Saripah Hasbullah, 78, dan sesekali klihatan tersenyum apabila ditanya perasaannya mendiami rumah baru.
Walaupun dalam keadaan uzur kerana penyakit yang dialami, namun Saripah kelihatan gagah dan ceria meraikan 1 Syawal bersama anak-anaknya.
Ketika Sinar Harian berkunjung ke rumahnya, Saripah sudah mampu bergerak sendiri walaupun sebelum ini keadaannya agak tenat dan sukar bernafas.
Dalam kegembiraan itu, beliau menceritakan perasaannya dapat mendiami rumah baru dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Alhamdulilah, saya semakin sihat dan dapatlah merasai Aidlifitri di rumah ini bersama anak-anak.”
Impian ini sudah lama saya simpan kerana sejak lebih 10 tahun menantikan rumah baru akhirnya melalui pertolongan wakil rakyat Wong Koon Mun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN KKB) memohon peruntukan kerajaan pusat, mereka meluluskan permohonan membina rumah baru.” Katanya yang kelihatan agak sayu.
Saripah sebelum ini tinggal di rumah pusaka yang terlalu uzur dan menanti masa menyembah bumi.
Tetapi setelah usahanya memanjangkan permohonan bagi mendapatkan bantuan rumah kepada wakil rakyat, akhirnya hasratnya tertunai.
Dia mendapat bantuan menerusi Program Bantuan Ruamah (PBR) bernilai RM 33,000 yang memperuntukan pembinaan rumah baru.
Saripah yang tinggal berdua bersama anak yang kelainan upaya (OKU), Suriati Md Zain, dimaklumkan perkara itu.
“Saya amat bersyukur ketika itu dan tidak sabar menantikan ia siap kerana diberitahu mengambil masa selama sebulan.
“Tapi saya bersyukur kerana belum sampai sebulan, rumah ini sudah pun siap sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, detik kegembiraan mahu memasuki rumah baru terganggu seketika apabila dia terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) kerana penyakitnya kian serius.
Doktor melaporkan, Saripah mengalami pendarahan serius dan ditahan di wad kecemasan pada jam 10 malam iaitu hari pertama beliau memasuki rumah barunya.
Suriati yang ditemui berkata, ibunya amat mengidamkan untuk mendiami rumah baru itu walau apa pun berlaku.
Menurutnya, sebaik rumah itu siap pada 14 September lalu, ibunya terus mengatakan mahu memasuki rumah itu walaupun mengikut syarat kontraktor binaan ia hanya boleh diduduki seminggu selepas siap.
“Mak beritahu kami adik beradik. Dia nak masuk rumah ini pada hari pertama siap. Melihatkan mak yang bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya, kami terus bergotong-royong membersihkan rumah ini.
“Mak cakap, dia mahu merasa rumah baru sebelum matanya tertutup walaupun pada ketika itu keadaan mak tidak sihat dan tak mampu berdiri.
“Alhamdulilah, hasrat mak tertunai pada hari itu. Tetapi tidak sampai beberapa jam, keadaan mak bertambah teruk dan kami bergegas menghantarnya ke hospital,”katanya.
Suriati berkata, selepas empat jam dimasukkan ke HKKB, keadaan ibunya kain serius dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di HS, keadaan ibunya beransur pulih dan pada petang Rabu, Saripah sudah dibenarkan pulang.
“Hari raya ini cukup bermakna bagi saya nak mak walaupun keadaannya yang kurang sihat.
“Impiannya mendiami rumah baru tercapai, dan Aidilfitri menjadi bukti kegembiraan itu,” katanya.
Sementara itu, adik Suriati, Mazura Md Zain, 33, pula berkata, dia amat gembira melihat ibunya ceria pada Hari Raya.
Baginya, tiada yang lebih bermakna selain dapat menyaksikan senyuman dan kegembiraan terpancar di wajah ibunya.
Apa lagi yang lebih membahagiakan kami selain melihat ibu gembira. Selama lebih 10 tahun menanti, akhirnya impian mak tercapai juga.
Walaupun terpaksa melalui detik menyeksakan ibu sewaktu pertama kali memasuki rumah ini, tetapi kesihatannya kian baik di Aidilfitri,” katanya.
Saudara mara dan jiran tetangga juga mula berkunjung ke rumahnya, bukan untuk menjamu selera tetapi mahu melihat sendiri wajah keceriaan Saripah.
Tiada apa untuk dijamu kepada tetamu yang datang kerana kesempitan hidup membatasi kehidupan keluarga Saripah.
Satu yang dizahirkan Saripah, mengharap ada insane yang sudi menyumbangkan sedikit bantuan keperluan hariannya.
Kerana keadaannya yang tidak mengizinkan ditambah dengan fizikal anaknya yang cacat, keluarga ini tidak tahu di mana mahu mendapatkan sumber pendapatan.
Sebarang sumbangan, keluarga ini boleh dihubungi di talian 019-2129036 atau melalui Ketua Umno Cawangan Kerling, Baharum Waria menerusi talian 017-2827831.

No comments:

Post a Comment