Monday, July 12, 2010

UCAPAN YB. TUAN WONG KOON MUN ADUN KUALA KUBU BHARU UNTUK MENYOKONG USUL YB. TUAN ABDUL SHUKUR IDRUS, ADUN KUANG MENGENAI ISU INDUSTRI PASIR & KSSB

1. Terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyokong usul yang telah dibawa oleh YB. ADUN Kuang mengenai isu industri pasir di Selangor dan kedudukan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.

Disamping empat faktor penting yang telah dibangkitkan oleh YB. Kuang, saya ingin menambah dua (2) lagi faktor mengapa usul tersebut patut diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.

PERTAMA
2. Penguatkuasaan dan Pemantauan Industri Pasir Dan
Aktiviti Mencuri Pasir Di bawah Jagaan KSSB
2.1. Salah satu tujuan penubuhan KSSB ialah untuk menjaga kawasan pasir serta menghalang dan mengawal kawasan tersebut daripada dicerobohi oleh pengusaha-penguasaha pasir haram.

 Apa yang berlaku sekarang aktiviti kecurian pasir masih berleluasa sekarang termasuk di kawasan-kawasan di bawah jagaan KSSB.

2.2. Berdasarkan maklumat-maklumat dan sesi pendengaran SELCAT baru-baru ini, terdapat sebanyak 42 aduan dibuat kepada pihak polis mengenai kecurian pasir di Selangor pada tahun 2009 dan awal 2010. Daripada jumlah tersebut, 34 aduan mengenai kecurian pasir dan 8 aduan mengenai kes bukan curi pasir. Ini membuktikan aduan pencurian pasir masih meluas, tidak dapat dikawal walaupun ditubuhkan KSSB. Kegagalan KSSB untuk menjalankan tanggungjawabnya.


2.3. Dalam semua kes laporan polis, Pegawai Keselamatan KSSB hanya buat laporan polis, supaya pihak polis dan jabatan-jabatan penguatkuasaan terutama Pejabat Tanah, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Parit dan Taliair mengambil tindakan penguatkuasaan.

Ada tiga contoh aduan seperti berikut

Contoh 1
Aduan pada 07.04.2009 oleh Encik Nor Azemi bin Abdul Rahman, Pegawai Keselamatan KSSB.
” Pada 7.4.2008 jam lebih kurang 0700 hrs semasa saya buat rondaan memantau dan mengawasi di tanah milik KDEB, PKPS dan laluan tanah TALAM di HS (D) 5396, PT 610, Mukim Ulu Tinggi Bestari Jaya dapati tanah milik PKPS dan KDEB telah diceroboh dan pasir sedang dikeluarkan tanpa kebenaran pemilik tanah. Perbuatan ini telah berlarutan selama seminggu di atas kejadian ini saya buat laporan untuk merujuk pihak Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Sekian laporan saya.”

Ulasan
Berlarutan seminggu, dibiarkan tiada tindakan tegas.

Contoh 2
Aduan pada 07.04.2009 oleh Encik Zulkefli bin Suhada, Senior Sekuriti KSSB.
” Pada 7.4.2009 jam lebih kurang 1700 hrs saya telah pergi di tanah milik KDEB di HS (D) 5396 PT 610 Mukim Ulu Tinggi Bestari Jaya di mana saya telah diberikan kuasa penuh untuk menjaga tanah milik KDEB mewakili Syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Tujuan saya ke sana adalah untuk memberitahu kepada pelombong-pelombong pasir haram supaya keluar dari tanah tersebut. Setelah semuanya selesai saya pun berbual kosong dengan mereka. Kemudian pada jam lebih kurang 2007 hrs saya telah menerima satu panggilan telefon daripada nombor peribadi dan bercakap dengan (1) (L) yang memperkenalkan diri sebagai Amran tetapi berdasarkan dailognya dipercayai berbangsa Cina. Di dalam perbualan tersebut beliau telah marah-marah kepada saya dan maki saya. Antara kara-katanya adalah seperti ’Lu kacau saya nanti saya hantar orang kacau sama you’. Beliau juga mempertikaikan kuasa saya yang telah diberikan oleh pihak KDEB kepada saya. Di atas kejadian tersebut saya datang ke balai polis buat aduan takut apa-apa hal berlaku dikemudian hari. Sekian aduan saya.”


Ulasan
Berbual kosong dengan pelombong-pelombong pasir haram selepas selesai kerja. Apa ni. Kerja tidak serius. Sebab itu tidak berkesan.

Contoh 3
Aduan pada 17.09.2009 oleh Encik Zulkefli bin Suhada, Senior Sekuriti Manager KSSB.
” Pada 17.9.2009 jam lebih kurang 1100 hrs saya telah dihubungi oleh SO Tanah PTD Sepang yang menahan lori membawa pasir tanpa permit mengikut siasatan awal SO Tanah dan Pegawai Daerah Sepang, pasir tersebut datang dari stock pile di tepi sungai Langat, Mukim Dengkil/Sepang. Permit untuk mengeluarkan pasir ’stock pile’ tersebut telah diberikan kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Saya telah memeriksa lokasi ’stock pile’ pasir tersebut dan ingin mengesahkan bahawa stock tersebut telah dicuri. Kali terakhir saya memeriksa stock tersebut ialah pada 16.9.2009 jam 1300 hrs. Tujuan saya buat laporan untuk siasatan pihak polis. Sekian laporan saya.

Ulasan
SO Tanah, Pejabat Tanah Daerah Sepang hubungi Pengurus Keselamatan KSSB. Pengurus KSSB siasat dan buat laporan kepada polis untuk siasatan dan tindakan.

2.4. Berdasarkan kes-kes di atas dan 31 lagi kes aduan polis, siapa sebenarnya yang berkuasa mengikut undang-undang dan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan membanteras aktiviti kecurian pasir.

KSSB yang dipertanggungjawabkan menjaga kawasannya dan tanah milik PKPS, KDEB didapati lepas tangan. Hanya buat aduan. Tidak ambil tindakan merampas atau mensita lori dan peralatan. Sebenarnya tidak ada kuasa penguatkuasaan mengikut undang-undang.

2.5. Anehnya, Pengerusi KSSB mendakwa perniagaan pasir dan operasi KSSB satu kerja berisiko tinggi. 40 aduan polis telah dibuat. Sebab itu layak dapat bonus 6 bulan gaji. Mana ada risiko tinggi dan terlibat secara langsung kerja-kerja penguatkuasaan. Lepas tangan bulat-bulat kepada

Pejabat Tanah dan Polis. Sepatutnya Penasihat, Pengerusi dan Pengarah Esekutif sendiri yang menerima gaji dan elaun berpuluh-puluh ribu ringgit sama-sama turun ke padang sesekali mengetuai operasi penguatkuasaan. Mana ada risiko tinggi.

Kalau adapun dikalangan pegawai-pegawai bawahan. Itupun hanya hantar laporan kepada polis. JADI TIDAK MUNASABAH KALAU INI DIJADIKAN FAKTA UNTUK LAYAK DIBERI BONUS BESAR.

2.6. Berdasarkan kepada apa yang berlaku sekarang, salah satu matlamat penubuhan KSSB sebagai mekanisma membanteras aktiviti curi pasir terbukti gagal. Malahan membuka ruang yang meluas untuk aktiviti ini berleluasa.

Oleh itu, Pejabat Tanah & Galian Negeri, Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dengan kerjasama pihak Polis yang mempunyai kuasa undang-undang hendaklah bergerak bersama membanteras aktiviti haram ini. Kita tidak boleh lagi berharap kepada KSSB. HARAPKAN PAGAR KSSB PAGAR MAKAN PADI.

KEDUA
3. PENDENGARAN SELCAT
3.1. Walaupun pendengaran SELCAT belum selesai dan mengikut Pengerusinya, setakat ini belum ada bukti wujudnya penyelewengan dan unsur rasuah seperti yang didakwa oleh YB. Ahli Parlimen Kapar, sekurang-kurangnya telah terbongkar beberapa bukti pengurusan yang tidak beretika dan bertanggungjawab serta keputusan-keputusan yang tidak boleh dipertahankan samada diperingkat kerajaan negeri dan pengurusan syarikat KSSB sendiri.

3.2.Untuk berlaku adil kepada semua pihak dan kewibawaannya tidak dipersoalkan oleh rakyat, SELCAT hendaklah memanggil semua saksi yang telah dikemukakan oleh YB. Ahli Parlimen Kapar atau mana-mana saksi yang didapati boleh membantu SELCAT mencapai keputusan yang adil, telus, tanpa takut dan berat sebelah. Sebenarnya masih


terdapat banyak lagi dakwaan-dakwaan yang perlu disiasat dan dibuktikan kebenarannya oleh SELCAT. Ingat, kredibiliti dan integriti SELCAT terutama Pengerusinya, ADUN Sungai Pinang sedang diadili oleh rakyat Selangor.

Kami, Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional akan mengikuti sepenuhnya pendengaran SELCAT dan terus membangkitkan isu ini di masa akan datang. Buat masa ini, kita beri peluang kepada SELCAT membuktikan kewibawaannya.

Tuan Speaker,

4. Berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah dibangkitkan oleh YB. ADUN Kuang dan dua perkara penting yang saya bangkitkan, sudahlah jelas dan terbukti bahawa terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran serta operasi KSSB dan ketidak keberkesanan pemantauan yang dijalankan oleh kerajaan negeri termasuklah oleh YAB. Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi Menteri Besar diPerbadankan (MBI). Walaupun YAB. Menteri Besar telah menekankan dalam Ucapan Bajet 2009 bahawa

”Ketua Pegawai Eksekutif bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat, bukan sebagaimana amalan sebelum ini yang segala kesalahan diletakkan pada Dato’ Menteri Besar Selangor”.

YAB. Dato’ Menteri Besar masih bertanggungjawab secara langsung atau tidak langsung kerana beliaulah yang memilih Ahli-Ahli Lembaga Pengarah termasuk Pegawai Kewangan Negeri yang mewakili kerajaan negeri dan YAB. Menteri Besar Selangor.


5. Kita rakyat Selangor tidak pasti, adakah isu ini merupakan salah satu faktor mengapa Kumpulan 15 Ahli Parlimen dari PKR mahu YAB. ADUN Ijok meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. YB. ADUN Bukit Antarabangsa merangkap Ahli Parlimen Gombak boleh jawab soalan ini.

Tetapi yang telah terbukti, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PKR baru-baru ini, YAB. ADUN Ijok terpaksa melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Negeri Selangor dan digantikan oleh YB. ADUN Bukit Antarabangsa.

 APA PUN RASIONALNYA, ISU PASIR DAN KSSB terbukti menjejaskan kredibiliti YAB. Menteri Besar.


Tuan Speaker,

6. Saya ingin mengulangi kenyataan YB. ADUN Kuang bahawa usul ini adalah penting demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Selangor. Kalau tidak diambil tindakan tegas seperti tujuh (7) ketetapan dalam usul ini, kesannya sangatlah besar kepada negeri Selangor yang kita cintai ’NEGERI SELANGOR AKAN MUSNAH’ seperti kata Pengerusi Eksekutif KSSB. Oleh itu saya menyeru supaya Dewan Undangan Negeri yang mulia ini terutama ADUN-ADUN darpada Pakatan Rakyat tampil untuk membuktikan kewibawaannya dan keperihatinannya kepada kesejahteraan negeri Selangor masa depan sebagaimana yang selalu digembar gemburkan Pakatan Rakyat sebagai penyelamat negeri Selangor – dengan beramai-ramai menyokong usul ini.


7. Dengan harapan inilah Tuan Speaker, saya memohon menyokong usul yang dibawa oleh YB. ADUN Kuang.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment