Monday, July 12, 2010

USUL DI BAWAH PERATURAN TETAP 27 DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR OLEH OLEH YB. TUAN ABDUL SHUKUR BIN HAJI IDRUS

1. Terima kasih kerana diberi peluang untuk membentangkan usul di bawah Peraturan Tetap 27 Dewan Undangan Negeri Selangor yang berbunyi demikian :

” Bahawasanya Dewan yang mulia ini mengambil perhatian serius pendedahan melalui pendengaran SELCAT yang telah diadakan pada 2 hingga 4hb. Jun 2010 dalam mana terbukti berlakunya banyak kelemahan dan ketidak keberkesanan pengurusan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) serta amalan pentadbiran yang tidak bertanggungjawab, beretika dan ketidakpatuhan nilai-nilai urustadbirbaik korporat. Kegagalan KSSB, sebuah syarikat di bawah Menteri Besar Di Perbadanan (MBI), dalam mencapai matlamat penubuhannya sangat mengecewakan harapan dan kepercayaan rakyat negeri Selangor. Selaras dengan prinsip pertanggungjawaban dan urustadbirbaik korporat yang sentiasa ditekankan oleh YAB. Menteri Besar merangkap Pengerusi Menteri Besar Di Perbadanan (MBI), maka Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut :-

PERTAMA
Memotong gaji YAB. Menteri Besar Selangor sebanyak RM 10.00 kerana kegagalannya memantau secara berkesan pengurusan KSSB.

KEDUA
Kerajaan negeri hendaklah menyediakan ’KERTAS PUTiH’ mengenai masalah pengurusan dan operasi KSSB dalam pengurusan industri pasir di negeri Selangor.

KETIGA
Kerajaan negeri hendaklah menyusun semula panel Pasukan Lembaga Pengarah dan Pengurusan KSSB yang terbukti gagal menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beretika selaras dengan nilai-nilai urustadbir baik korporat termasuklah menamatkan perkhidmatan semua Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Eksekutif syarikat.

KEEMPAT
Pemberian bonus kepada Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai serta kakitangan KSSB hendaklah diberhentikan serta merta.

KELIMA
Tindakan tegas hendaklah dikenakan kepada mana-mana pegawai dan kakitangan KSSB yang telah terbukti menyalahguna kuasa dan menyeleweng.

KEENAM
Kerajaan negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Selangor dan semua Pejabat-Pejabat Tanah Daerah hendaklah memberhentikan dan membatalkan permit pengeluaran pasir di kawasan-kawasan yang didapati tidak sesuai dan boleh membawa bencana kepada negeri Selangor di masa akan datang. Permit-permit yang dikeluarkan kepada KSSB hendaklah dibatalkan dengan serta merta jika terbukti berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

KETUJUH
Kerajaan negeri hendaklah memperkemaskan dan memantapkan Pasukan Penguatkuasa yang dianggotai oleh jabatan-jabatan Kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan bagi membanteras aktiviti curi pasir dan mempastikan permit-permit pasir tidak disalahguna dan diselewengkan ”.

Tuan Speaker,

2. Sebenarnya isu pasir ini merupakan salah satu episod kegagalan meguruskan pembahagian ’harta rampasan perang’ berikutan kemenangan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Selangor pada Mac 2008. Ini berlaku berikutan ketidakadilan pembahagian harta-harta rampasan perang dikalangan briged-briged tentera Pakatan Rakyat. Wujud ketidaktelusan pentadbiran, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan perompakan harta-harta rampasan perang oleh kroni-kroni komander-komander bala tentera Pakatan Rakyat. Rasa tidak puas hati dikalangan bala tentera kerana pembahagian harta rampasan yang tidak adil.

3. Apa yang berlaku dalam KSSB sudah tidak terkawal lagi. Ini membuktikan kegagalan YAB. Menteri Besar merangkap Pengerusi Menteri Besar di Perbadankan (MBI) membuat pemantauan berkesan ke atas KSSB walaupun beliau merupakan seorang ahli korporat terkenal.

4. Isu ini mungkin tidak begitu hebat kalau tidak dimulakan oleh beberapa orang napoleon kecil dan jeneral-jeneral Pakatan Rakyat sendiri. Ini dimulakan seawal 15 November 2009 oleh Ahli Parlimen Ampang dan ADUN Bukit Antarabangsa seperti yang dilaporkan di dalam Harakah Daily pada 15.11.2009. Beliau mendakwa beberapa pihak daripada KSSB menjadi dalang kes curi pasir di negeri ini. Kes ini menjadi isu hangat, apabila Ahli Parlimen Kapar mendakwa berlaku penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan industri pasir dalam syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd yang diikuti dengan laporan polis pada 12 Mac 2010. Penyiasatan kemudian dijalankan oleh SELCAT pada 2 hingga 4 Jun 2010. Malahan salah satu sebab Ahli Parlimen Bukit Bintang meninggalkan PKR ialah kerana kegagalan Pakatan Rakyat menyelesaikan isu pasir di negeri Selangor.

5. Berdasarkan kepada pendengaran oleh SELCAT dan beberapa maklumat umum yang kita semua sedia maklum saya ingin membangkitkan empat isu penting untuk menyokong usul di atas.

PERTAMA
6. Penubuhan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) anak syarikat milik penuh kerajaan negeri– Menteri Besar di Perbadanan (MBI)
6.1. Walaupun matlamat penubuhannya baik, tetapi pelaksanaan dan pengurusan operasinya sangat mengecewakan.
Memang sudah dijangka – sebuah syarikat yang memonopoli industri pasir di seluruh negeri Selangor akan menghadapi masalah besar dan terbuka kepada unsur-unsur penyelewengan, korupsi, penyalahgunaan kuasa jika pihak pengurusannya tidak cekap dan berintegriti.

Buktinya – pembongkaran kelemahan KSSB melalui pendengaran SELCAT. SELCAT terbukti gagal untuk mencapai dua matlamat penting – menjana pendapatan RM 150 juta pada tahun 2009 dan membanteras aktiviti curi pasir.

KEDUA
7. Pelantikan Ahli-Ahli Lembaga Pengadah dan Pasukan Pengurusan KSSB
7.1. Walaupun kerajaan negeri dengan bangga menonjolkan mereka sebagai tokoh-tokoh profesional dan korporat berjaya, berpengalaman dan berintegriti, tetapi pendengaran melalui SELCAT membuktikan kegemilangan masa lalu tidak menjamin prestasi cemerlang dalam KSSB. Terbukti keputusan dan tindakan-tindakan mereka bertentangan dengan prinsip-prinsip tadbir usus baik ’good governance’ dengan izin, HARAPKAN PAGAR PAGAR MAKAN PADI.

7.2. YAB. Menteri Besar selalu menuduh kerajaan BN yang lalu mengamalkan kronisma, tetapi apa kurangnya sekarang melalui KSSB. Penasihat KSSB, YBhg. Dato’ Anuar Mohd Nor dan Pengerusi KSSB, Tuan Haji Shukur Nagim adalah sahabat-sahabat baiknya semasa di Guthrie dan Sime Darby. Latar belakang lain Ahli Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan tidak begitu menonjol, tetapi atas prinsip ketelusan saya minta YAB. Menteri Besar mendedahkan latar belakang semua Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Utama KSSB untuk penilaian rakyat.

KETIGA
8. Unjuran Pendapatan Hasil Penjualan Pasir
8.1. Dalam pembentangan bajet 2009 dan ucapan sulung YAB. Menteri Besar sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor pada bulan Disember 2008, YAB. Menteri Besar dengan penuh yakin dan bangga mengumumkan unjuran pendapatan sebanyak RM 150 juta dari penjualan pasir pada tahun 2009.

8.2. Apabila ditimbulkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada bulan Mac yang lalu, Exco yang bertanggungjawab, ADUN Kota Anggerik memaklumkan Dewan bahawa pendapatan dari jualan pasir hanya sebanyak RM 31.09 juta. Untung sebelum cukai RM 8.21 juta. Royalti kepada kerajaan negeri RM 5.769 juta. Cukai korporat RM 2.05 juta. Sumbangan kepada kerajaan negeri RM 1.39 juta.

Dividen kepada Menteri Besar DiPerbadankan (MBI) RM 3.50 juta. Ini bermakna Untung Bersih hanya RM 6.159 juta dan daripada jumlah tersebut diberikan kepada rakyat melalui kerajaan negeri hanya RM 1.39 juta.

Mana dia keuntungan besar dan pendapatan RM150 juta yang digembar gemburkan oleh YAB. Menteri Besar.

8.3. Dalam pendengaran SELCAT, Pengarah Eksekutif KSSB menyatakan bahawa beliau sendiri tidak tahu atas dasar apakah ujuran pendapatan 150 juta dibuat oleh YAB. Menteri Besar atau RM 127 juta seperti yang disebut oleh Pengerusi SELCAT kerana beliau berkhidmat dengan KSSB dua bulan selepas KSSB ditubuhkan dan pengumuman tersebut dibuat.

Beliau menyifatkan unjuran tersebut satu angka misteri. Misteri kerana sekiranya ia menjadi kenyataan, negeri Selangor akan musnah sama sekali. Bagi mendapatkan RM 127 juta, kita perlu melombong 66 juta tan pasir setahun atau menjual sebanyak 5.5 juta tan sebulan. Jika ini dilakukan akhirnya Selangor akan musnah sama sekali. Yang tinggal, satu lubang besar.

Beliau menyatakan bahawa KSSB hanya mampu menyumbangkan lebih kurang RM 30 juta dalam bentuk royalti hasil jualan 17 juta tan pasir setahun.

Beliau juga memberitahu bahawa keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM 10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat mendapat RM 8 juta. Daripada jumlah tersebut, RM 1.3 juta disumbangkan kepada kerajaan negeri untuk program merakyatkan ekonomi Selangor.

8.4. Terima kasih Tuan Ir. Ramli Abd. Majid kerana berterus terang, walaupun bertentangan dengan kenyataan bossnya YAB. Menteri Besar Selangor. Ini pendapat pakar batuan dan harus dihormati.

Jadi siapa yang bercakap benar dan berbohong. Kerajaan negeri melalui YAB. Menteri Besar dan Ahli Exco, ADUN Kota Anggerik atau Pengarah Eksekutif KSSB.

Banyak kemungkinan boleh berlaku. RM 127-RM 150 juta memang betul tetapi HILANG kerana kebocoran dan penyelewengan. Oleh Siapa – SELCAT sila siasat.

ATAU sebagai justifikasi penubuhan KSSB dan memberi kuasa monopoli permit pasir.

Kalau silap dan Pengarah Eksekutif KSSB betul, itu menunjukkan YAB. Menteri tidak teliti, mendapat maklumat kurang tepat, berbohong dan mengelirukan rakyat dan hendaklah bertanggungjawab di atas kenyataannya.

8.5. Saya setuju dengan komen Pengerusi SELCAT, ADUN Sungai Pinang bahawa rakyat hampa dan hilang keyakinan kepada kerajaan negeri apabila semua unjuran tidak tercapai.

APA-APA PUN, LU FIKIRLAH SENDIRI ! memilih kata-kata pelawak NABIL-

Tuan Speaker,

8.6. Rakyat negeri Selangor hendaklah memandang serius kenyataan Pengarah Eksekutif KSSB, jika betul. Bukankah beliau seorang jurutera galian, seorang pakarseperti yang digembar gemburkan oleh Exco dan ADUN Kota Anggerik.

Oleh itu, saya meminta kerajaan negeri membuat kajian terperinci diseluruh negeri Selangor, kawasan-kawasan yang benar-benar boleh dikeluarkan pasir, kuantiti yang dibenarkan dan semua agensi kerajaan yang terlibat hendaklah memantau sepenuhnya aktiviti pengeluaran pasir bagi mengelakkan bencara besar hasil kerakusan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini penting, kerana perbelanjaan untuk menimbus lubang yang besar yang ditinggalkan oleh pelombong-pelombong pasir sangatlah besar.

Jika Kerajaan dan KSSB bermati-matian nak capai matlamat RM 127 juta untuk jangka pendek dan jangka panjang, negeri Selangor akan musnah dan rakyat tiada tempat lagi untuk tinggal.

Pada kadar 17 juta tan setahun, KSSB memerlukan 4 tahun sahaja atau 66 juta tan untuk mencapai matlamat RM 127 juta. Kesannya negeri Selangor akan musnah dalam tempoh 4 tahun dari sekarang. Ini malapetaka BESAR.

8.7. Memang benar, di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu pendapatan daripada royalti pasir kurang sedikit daripada kerajaan Pakatan Rakyat. Itupun kerana jumlah pasir dikeluarkan terhad dan dikawal. Kerajaan BN dahulu memang tidak menjadikan industri pengeluaran pasir sebagai aktiviti utama untuk mendapatkan hasil negeri.

Tidak ada syarikat monopoli kerajan seperti KSSB. Industri ini dijalankan oleh syarikat-syarikat swasta dan penguatkuasaan dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Kita mengeluarkan permit pasir mengikut keperluan pasaran dan di kawasan-kawasan yang selektif.


Agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Menteri Besar, Ahli Exco dan ADUN-ADUN bekerjasama memantau aktiviti ini. Tidak dinafikan, memang ada gerakan mencuri pasir. Dan sebab itulah MB sendiri dan Ahli Exco bertanggungjawab, bekas ADUN Sijangkang turun padang walaupun mendapat ugutan daripada samseng-samseng dan kroni-kroni pencuri pasir.

8.8. Mengapa YAB. Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exco kerajaan sekarang tidak turun ke padang mengetuai gerakan operasi ini. Sebab itulah YAB. Menteri Besar sendiri mengakui bahawa beliau baru tahu pencurian pasir berlaku. Malang sekali, apabila YB. Ahli Parlimen Kapar membawa isu ini secara terbuka, beliau diugut bunuh dan keretanya disimbah cat. Dan yang paling mendukacitakan sekali, YAB. Menteri Besar telah memberi kenyataan sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar bahawa sebaik sahaja YB. Manikavasagam membuat dakwaan kepada orang, beliau perlu bertanggungjawab dengan tindak balas dan perlu bersedia untuk berhadapan dengannya. Dalam bahasa pasar, BERANI BUAT BERANI TANGGUNG.

Sepatutnya beliau bersimpati dan mengutuk keras perbuatan samseng-samseng pasir tersebut. Apalagi, YB. Ahli Parlimen Kapar ahli partinya sendiri – Parti Keadilan Rakyat. Kepada Ahli Parlimen Kapar, saya nasihatkan masuklah Kumpulan Ahli Parlimen Bebas yang baru ditubuhkan. Ahlinya sekarang 5 orang. Tambah Kapar jadi enam. Bagaimana pula ahli Parlimen Ampang, ADUN Bukit Antarabangsa. Tahniah ADUN Bukit Antarabangsa yang mula-mula bangkitkan isu ini. Sekarang sudah naik pangkat – Pengerusi PKR Selangor. Apa komen YAB. ADUN Ijok.

Tuan Speaker,

KEEMPAT
9. Isu Bonus dan Sumbangan KSSB Untuk Program Merakyatkan Ekonomi Selangor
9.1. Berdasarkan pendengaran SELCAT, Bonus sebanyak RM 641,113.89 telah dibayar oleh KSSB sehingga Jun 2009. RM 137,500 dibayar pada Disember 2008 dan RM 503,613.59 dibayar pada bulan Jun 2009. Bonus dibayar diantara 2 hingga 6 bulan gaji. Sebanyak 2 kali bayaran pada bulan Disember 2008 dan Jun 2009. Pengarah Eksekutif mendapat RM 82,000 atau 6 bulan gaji, Pengerusi mendapat RM 48,000 atau 6 bulan gaji (gaji RM 8,000) dan Pegawai Kewangan Kerajaan negeri dapat RM 36,000.00. Penasihat syarikat pun dapat elaun bulanan RM 5,000 dan bonus 6 bulan sebanyak RM 30,000.00. Pengakuan dan rasional yang diberikan oleh Pengarah KSSB sangat mengecewakan walaupun beliau adalah seorang tokoh korporat berpengalaman.

9.2. Daripada untung sebelum cukai KSSB berjumlah RM 8.21 juta, hanya RM 1.39 juta atau 16.9% diberikan kepada kerajaan negeri untuk program merakyatkan ekonomi Selangor.

Siasatan melalui pendengaran SELCAT pula mendapati bahwaa daripada jumlah perbelanjaan pentadbiran sebanyak RM 4,676,833.00 pada tahun 2009, sebanyak RM 527,398.00 atau 11.31% adalah untuk bayaran Lembaga Pengarah dan Penasihat tidak termasuk bonus dan sebanyak RM 1,412,697 atau 30.21% untuk hadiah dan sumbangan. SELCAT, siasat untuk siapa – kerana jumlahnya adalah besar. Untuk rakyat atau pihak-pihak lain yang berkepentingan.

Jumlah bonus yang dibayar bagi tempoh Ogos 2008 hingga Jun 2009 ialah sebanyak RM 641,113.54 atau RM 14,246.00 setahun atau RM 1,187.00 sebulan kepada 45 orang kakitangan termasuk Ahli Lembaga Pengarah KSSB.


Pendedahan di atas sangat bertentangan dengan matlamat merakyatkan ekonomi negeri Selangor melalui keuntungan KSSB seperti yang selalu digembar gemburkan oleh YAB. Menteri Besar.


Apa yang berlaku, RAKYAT DIBELAKANGKAN, PEGAWAI DAN AHLI LEMBAGA PENGARAH DIUTAMAKAN. CAKAP YAB. MB TAK SAMA BIKIN.


9.3. Bonus dibayar berdasarkan unjuran keuntungan syarikat pada bulan Jun 2009. Ini bukan amalan urus tadbir baik. Mana ada dalam dunia korporat melainkan KSSB, gaji dibayar berdasarkan unjuran keuntungan. Bagaimana kalau syarikat rugi? Pada mulanya, Pengerusi KSSB mempertahankan keputusan tersebut adalah betul walaupun akhirnya mengaku SATU tindakan yang salah. Amalan biasa, bonus hanya ditimbangkan dan dibayar selepas akaun syarikat diaudit. Jika ada keuntungan besar baru bonus diberikan. Dalam kes ini dibayar empat bulan selepas syarikat beroperasi, belum lagi tahu untung dan rugi.

9.4. Jumlah bonus yang dibayar syarikat sangat besar bagi syarikat kecil seperti KSSB. Saya setuju dengan komen Pengerusi SELCAT bahawa syarikat-syarikat besar seperti MAS dan MAXIS Bhd. tidak memberi bonus sebanyak itu. Pengerusi KSSB sendiri akhirnya mengakui menyatakan bahawa bonus tersebut adalah tinggi. Tidak ada mana-mana syarikat di dalam dunia melainkan KSSB, bagi bonus begitu tingi dalam tempoh yang singkat berdasarkan kepada unjuran keuntungan yang kecil.

Pengerusi KSSB mengaku sendiri, bahawa sepanjang beliau terlibat dalam dunia korporat tidak pernah berlaku pemberian bonus yang begitu tinggi kepada Ahli Lembaga Pengarah. TETAPI MENGAPA BELIAU LULUS BONUS TERSEBUT.

9.5. Pengerusi KSSB menekankan bahawa bonus besar wajar diberi kerana industri pasir berisiko tinggi, selalu menghadapi ancaman sementara semua pegawai dan kakitangan telah bekerja keras. ALASAN TIDAK MUNASABAH DAN MASUK AKAL.

KSSB sebuah syarikat monopoli kerajaan, terus diberi permit oleh kerajaan. Tiada persaingan dari sangat-syarikat lain. Aktiviti utama – dapat permit, jual pasir kepada syarikat-syarikat lain, pantau muatan lori keluar masuk. Tidak terlibat pengutkuasaan dan hanya buat laporan kepada polis.

Bukan satu industri yang rumit seperti KDEB, PKNS, Sime Darby, Kumpulan Perangsang yang menguruskan pelaburan beratus-ratus juta dan berbilion ringgit dengan keuntungan yang besar dipasaran terbuka yang mencabar dan berisiko tinggi. KSSB tak banyak hadapi risiko. PASTI untung tidak RUGI. Banyak dan sikit keuntungan bergantung kepada ketelusan pengurusannya.


Tuan Speaker,

10. Usul ini sangatlah penting kerana melibatkan kepentingan rakyat negeri Selangor dan kewibawaan kerajaan negeri. Walaupun Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dalam Dewan ini untuk meluluskan Usul di atas, saya harap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat hendaklah bersifat rasional dan bertanggungjawab dalam menangani isu ini. Ini bukan soal parti. Ini soal kepentingan rakyat. Ini soal pertanggungjawaban dan urustadbirbaik korporat. Bukankah dalam pembentangan Bajet 2009 YAB. Dato’ Menteri Besar menekankan bahawa,


” Pentadbiran baru negeri hendaklah memastikan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri bukanlah wadah atau platform untuk memberi kontrak kepada kroni-kroni atau rakan-rakan politik. Sebaliknya kita mahu memastikan pengurusan dilaksanakan secara profesional supaya semua Ketua Pegawai Eksekutif bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat”.

11. Walaupun mungkin Dewan yang mulia ini tidak mahu meluluskan Usul ini yang melibatkan kedudukan YAB. Menteri Besar, ada lagi enam perkara yang sangat penting untuk ditimbangkan. Di luar sana rakyat negeri Selangor sedang menunggu apakah pendirian Ahli-Ahli Pakatan Rakyat mengenai isu ini. Sebagai ahli-ahli Dewan yang bertanggungjawab, kepentingan rakyat hendaklah didahulukan. Pihak kami akan terus membangkitkan isu ini selagi keputusan dan tindakan tegas tidak diambil oleh kerajaan.

12. Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas dan fakta-fakta tambahan yang akan dibangkitkan oleh penyokong usul ini, saya dengan penuh bertanggungjawab membentangkan usul yang penting ini untuk dibincangkan dan ditimbangkan oleh Dewan yang mulia ini.


Tuan Speaker, saya mencadangkan.

No comments:

Post a Comment